soctavia@hmetro.com.my
KEPENATAN berkejaran demi memenuhi tuntutan kerja jelas kelihatan di wajah masing-masing, tambahan lagi persediaan untuk Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) yang memerlukan masa dan tenaga yang bukan sedikit.
Berjaya menepis tanggapan segelintir pihak kononnya artis realiti tidak mampu pergi jauh, tiga anak kelahiran pentas Akademi Fantasia (AF) - Stacy Angie Anam, Ahmad Shahir Zawawi dan Siti Adira Suhaimi cuba memastikan mereka bukan ‘mi segera’ di pentas AJL yang bersiaran langsung di TV3 dari Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini.
Menyedari mempunyai �tanggungjawab besar yang harus digalas, Stacy melalui lagu Jahat, Shahir mempertaruhkan Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Adira dengan single utamanya, Ku Ada Kamu, masing-masing menunggu penuh debar sebelum menginjakkan kaki ke pentas berprestij itu. Biarpun ini kali ketiga, debaran Stacy tetap sama seperti pertama kali. Apatah lagi Adira dan Shahir yang pertama kali.
Kelihatan dominasi artis realiti kini yang semakin mendapat tempat di AJL, tekanan yang dihadapi masing-masing semakin hebat ditambah lagi dengan jadual persembahan yang tidak putus-putus.
Mengakui melalui pelbagai tekanan terutama berdepan dengan majlis anugerah besar ini, Shahir dan Adira sedaya mungkin mengamalkan beberapa petua untuk mengelakkannya. Shahir turut melalui pengalaman sukar beberapa minggu selepas lagunya terpilih ke peringkat akhir AJL25, apabila dia gagal dihubungi media.
Kebetulan ketiga-tiganya memikul tanggungjawab sebagai penyampai lagu ciptaan Edry Abdul Halim, maka debaran dan tekanan kian jelas.
Malah banyak sesi fotografi yang diatur pada saat akhir tidak dihadiri Shahir dan ini menjadi tanda tanya kepada media termasuklah pihak yang bekerjasama dengannya bagi sesi latihan untuk AJL25.
Mengakui banyak masalah yang datang tanpa diminta, Shahir bijak menyusun kata supaya tidak tersalah bicara mengenai misteri kehilangannya. Menurut Shahir, semua�nya berlaku begitu pantas, dalam kesibukan membuat latihan untuk AJL dia diserang sakit tiba-tiba yang membuatkan dirinya lemah tidak bermaya malah sebelum ini dia pernah dimasukkan ke wad.
Cuba mencari penyelesaian, Shahir membuat pemeriksaan doktor. Walaupun masih belum dipastikan apakah punca penyakitnya, doktor mengesahkan ada lebih asid dalam hatinya yang berkemungkinan ia gejala kanser.
“Pada waktu itu saya memang tidak dapat berhubung dengan sesiapa, rasa tak bermaya dan setiap yang saya lakukan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Bukan niat mendiamkan diri tanpa sebab, saya perlu ruang untuk mengatasi masalah sendiri tanpa menyusahkan orang lain malah keluarga juga tidak tahu masalah yang saya hadapi ketika itu.
“Bukan niat membelakang�kan keluarga, tetapi saya tidak mahu merisaukan hati mereka. Cukuplah dengan masalah ayah yang sakit, tak perlu lagi saya tambah beban masalah keluarga, apatah lagi ketika itu saya terasa seperti hidup sudah tidak lama. Yang ada dalam kepala hanyalah mati.
“Namun saya bersyukur, selepas menjalani rawatan dan sedikit pulih, saya bertemu pengurusan dan mereka
memahami keadaan saya. Selepas ini saya akan menjalani latihan untuk AJL seperti biasa serta memenuhi undangan persembahan, namun masih dalam pemantauan doktor,” katanya ketika ditemui dua minggu lalu.
Bagi Stacy, ia adalah satu cabaran yang harus dilakukan dengan sebaiknya. Biarpun ini kali ketiga bertanding, Stacy masih gentar kerana per�saingan daripada setiap artis yang bertanding tidak kurang hebatnya sehingga dia sendiri susah meramalkan siapa bakal bergelar juara.
“Seperti biasa, menari adalah perkara wajib dalam setiap persembahan saya. Mengenai kelainan yang bakal ditonjolkan, lihatlah nanti malam ini, apa yang penting ialah kepuasan penonton terhadap persembahan saya.
“Kalah dan menang adat bertanding, saya sudah melakukan yang terbaik dan tercalon ke peringkat akhir sudah cukup membanggakan saya dan ia adalah satu platform untuk saya terus melakar nama sebagai seorang penghibur. Yang penting, persembahan saya membuatkan penonton teruja dan kagum sehingga mereka akan ingat itulah identiti saya.
“Walaupun sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya, saya harus yakin supaya per�sembahan dilakukan tidak mengalami masalah kelak. Tidak dinafikan jadual yang sangat padat membuatkan saya lelah sehingga demam, namun saya akur. Selepas ini saya terus memberi tumpuan kepada album kedua yang dijangka siap tahun ini,” katanya.
Adira turut merasai tempias teman-teman, pertama kali menyertai AJL tekanan hebat membuatkan dia harus bertahan demi komitmen terhadap anugerah ini.
Menyedari saingan begitu sengit, banyak latihan dan persiapan baik di segi mental dan fizikal dilakukan, malah Adira sendiri mengakui teruja untuk beraksi buat pertama kali di samping artis-artis lain yang lebih berpengalaman seperti Faizal Tahir yang mempertaruhkan Hanyut dan Selamat malam, Black (Sofea Jane), A.P.I (Pelita), Yuna (Cinta Sempurna), Hujan (Mencari Konklusi), Bunkface (Extravaganza), Hafiz (Noktah Cinta) dan Tomok (Berlari), Meet Uncle Hussain & Black (Drama King).
“Saya akui gementar. Biarpun kerap melakukan latihan, saya masih gugup. AJL tidak sama dengan konsert AF yang saya sertai sebelum ini walaupun menyanyi di khalayak ramai, saya harus memberi komitmen penuh dengan �persembahan supaya tidak nampak seperti dalam pengajian di AF.
“Selain sibuk dengan latihan, saya harus memenuhi aktiviti persembahan yang diatur oleh Astro, walaupun penat saya akur dan saya sedar bukan mudah menjadi penghibur kerana banyak pengorbanan harus dilakukan.
“Pencalonan kali ini benar-benar sengit, jika ada antara kami yang berjaya ia adalah bonus dan kami harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan kemampuan artis realiti seperti kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment