Tuesday, September 13, 2011

Cemburu ada makna

Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my


Dapat kunci kebebasan

SUKA atau tidak, dua bintang realiti Akademi Fantasia, Stacy dan Akim masih tetap dikaitkan antara satu sama lain sekali pun jawapan biasa yang keluar daripada bibir masing-masing hanya menyatakan mereka sekadar sahabat akrab.
Malah kemunculan album baru Stacy yang diberi judul Stay-C mengukuhkan lagi kisah kekuatan hubungan merpati dua sejoli itu apabila si jejaka turut menghasilkan seni kata buat lagu ciptaan Kuncidemak, Cemburu.
Sambil tersenyum simpul, akui empunya nama sebenar Stracie Angie Anam, 21, dia sendiri tidak tahu teman suka dukanya mempunyai bakat terpendam malah menganggap ia sebagai kejutan.

“Saya sendiri tidak tahu Kuncidemak memberikan lagunya kepada Akim untuk dilengkap liriknya. Apa yang saya tahu kedua-duanya bersahabat baik dan sebaik diserahkan, saya menyenangi lagu ini.

“Namun tidak bermakna Cemburu membawa makna kepada hubungan yang tidak lebih daripada kawan ini. Sebagai teman karib Akim, saya begitu senang hati mendendangkan lagu yang digarapnya sendiri,” katanya selepas pelancaran album itu, baru-baru ini.

Turut dihadiri ibu serta saudara-mara terdekat, majlis yang dimeriahkan kehadiran peminat setianya meninggalkan momen berharga apabila insan kesayangan sama-sama meraikan ulang tahunnya yang ke-21.
Walaupun sambutan berlalu lebih dua minggu daripada tarikh pelancaran album keduanya iaitu pada 18 Ogos lalu, sambutan tetap meriah, malah Stacy sempat berseloroh meminta kunci kebebasan daripada ibu tercinta, Agnes Kallos.

Pada majlis terbabit, Stacy tidak ketinggalan menyampaikan tiga dendangan yang dipetik daripada album barunya iaitu Kisah Dongeng, Kasanova selain Cemburu dengan persembahan bertenaga.

Nyata angka 21 memberi pengertian berbeza buat si manis dari Kota Kinabalu, Sabah itu apabila meletakkan takrif kematangan sepanjang merencana kerjaya seni yang diterokai kira-kira empat tahun lalu.

“Dua tahun mencari bahan dan merealisasikannya bukanlah satu tempoh singkat kerana saya perlu memperhalusi setiap bingkisan sebaik mungkin apatah lagi kali ini saya mempertaruhkan balada sebagai rentak pilihan.

“Peminat sudah biasa mendengar saya menyampaikan lagu rancak. Jadi apabila memilih irama melankolik ini, ia memberi cabaran berlainan dan penghayatan seakan membawa kita ke alam berbeza,” katanya yang semakin menyerlah menerusi lagu Kisah Dongeng.

Sememangnya jangka masa dua tahun melengkapkan buah tangan terbabit berbaloi apabila satu persatu single yang diperdengarkan kepada umum memancing perhatian hingga mampu menduduki carta.

Itulah kepuasan yang dinantikan selama ini kerana setiap inci bahan seawal pemilihan lagu, konsep hingga imej feminin yang diserlahkan menerusi gaya kulit dalam album umpama mahu menonjolkan kematangannya kepada dunia.


Bukan tukar pengenalan diri

Namun apabila ditebak mengenai imej di pentas yang tidak menampakkan perbezaan dengan kemunculan awal di arena seni suara, dengan ringkas ulasnya, imej gadis matang hanya untuk album.

Katanya, di pentas dia lebih selesa bergaya ringkas sekali gus memudahkan pergerakan ketika menari memandangkan dirinya cukup sinonim dengan tarian rancak tatkala di pentas persembahan.

Mengenai judul album yang menggunakan nama Stay-C, tegasnya ia sekadar kelainan pada ejaan bukan bermakna mahu menukar pengenalan diri untuk perjalanan seni yang seterusnya.

“Nama saya tetap menggunakan ejaan Stacy, tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan kerana bagi saya Stay-C membawa bermacam makna seperti ‘stay cool’ atau ‘stay creative,” katanya lagi.

Antara lain lagu yang dimuatkan ialah Bosan, Lalai, Kapsul, Pelangi Senja serta sebuah dendangan duet bersama idola pujaannya, Amy Search bersama lagu ciptaan Edrie Hashim, Gempur.

“Sudah tentu saya teruja sebaik saja rocker tersohor yang juga mantan Pengetua AF itu menyatakan kesediaan bergabung suara dengan saya. Ia umpama penghormatan buat orang baru seperti saya.

“Gempur juga menjadi lagu terakhir yang kami rakamkan untuk album ini. Apa yang pasti saya berpuashati dengan keseluruhan hasilnya dan mahu berkongsi rasa ini dengan semua peminat,” tambahnya.

No comments: