Tuesday, September 6, 2011

MASiF 2011 undang Stacy lagi

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my

RENTETAN daripada kejayaan penganjurannya tahun lalu , Music, Arts and Style International Festival 2011 (MASiF 2011) akan diteruskan pada tahun ini mulai 15 September ini.

Festival yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September itu akan berlangsung selama tiga hari.

Acara unik yang berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen itu bakal diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan dijangka mampu memberi pendedahan serta manfaat khususnya buat generasi muda mengembangkan bakat.

MASiF 2011 bukan sekadar menghimpunkan para penyanyi dan penggiat muzik, malah pereka fesyen dan model serta beberapa cabang seni halus lain termasuk lukisan dan arca turut terbabit.

Salah seorang artis yang diundang untuk menjayakan MASif adalah juara Akademi Fantasia ke enam (AF6), Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 21.

Menurut penyanyi yang kini popular dengan lagu Kisah Dongeng, ini adalah kali kedua dia diundang menjayakan MASiF.

"Tahun lepas Stacy diundang buat show untuk MASiF dan terima kasih kepada penganjur kerana undang Stacy sekali lagi pada tahun ini.

"Festival begini dapat dijadikan platform kepada penyanyi baru seperti Stacy kerana kehadiran ramai penggiat seni dari dalam dan luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas penyanyi itu, dia akan mendendangkan lima buah lagu sewaktu mengadakan persembahan pada 16 September ini bersama Hafiz AF.

Stacy yang muncul dengan album baru, Stay-C, edaran Warner Music menampilkan enam buah lagu dalam album tersebut.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah Kasanova, Cemburu, Bosan, Lalai, Kisah Dongeng dan Kapsul.

"Untuk album ini Stacy bekerjasama dengan komposer Audi Mok, Edry Abd. Halim, Omar K dan Kuncidemak.

"Sebenarnya, awal-awal berdebar juga bila Stacy kena nyanyi lagu Kisah Dongeng sebab ia lebih kepada irama balada berbanding rancak seperti Stacy nyanyi sebelum ini," ceritanya.

Namun bagi menampilkan kelainan dan menunjukkan yang dia mampu mendendangkan lagu dalam pelbagai rentak, Stacy kuatkan semangat. Ternyata usaha gigih Stacy terhadap lagu Kisah Dongeng, ciptaan Edry itu berbaloi kerana ia mendapat sambutan hangat daripada para peminatnya.

No comments: