STACY melabelkan dirinya sebagai seorang diva di atas pentas demi mencabar diri untuk melakukan yang terbaik.
SEPANJANG laluan seni yang dipilih Stacy, tidak terlampau perit liku yang dirempuh untuk tiba ke destinasi sekarang. Tiada kontroversi mahupun kisah sensasi untuk dijaja.
Barangkali, Stacy selebriti yang kalis terkena silau kontroversi. Walau sinarnya tidak secerah kali pertama menyertai program realiti sebelum Akademi Fantasia 6, dia kini berjaya membuka mata bahawa dialah bintang yang dicari.
Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, bagaimanapun baru-baru ini mula menjadi perhatian apabila seringkali membatalkan sesi fotografi pada saat akhir selain dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu.
Menjawab situasi sebenar berhubung isu itu, Stacy menjelaskan tiada masalah serius berlaku berkenaan penundaan sesi fotografi itu.
"Stacy sudah jelaskan mengenai perkara itu kepada pihak yang terbabit. Pertama kali membatalkan sesi fotografi itu kerana diserang senggugut, kedua disebabkan tiba-tiba Stacy ada persembahan di Kuching, Sarawak dan kali ketiganya kerana Stacy kena gastrik.
"Semua jadual Stacy diuruskan pihak pengurusan dan Stacy tidak boleh membantah," maklum Stacy.
Stacy dalam pada itu sudah jelaskan perkara sebetulnya dan pihak yang terlibat juga memahami.
"Stacy janji lepas ini kalau sakit pun Stacy akan pergi juga. Stacy akan cuba bagi yang terbaik selepas ini. Minta maaf atas kekeliruan yang berlaku," katanya yang tidak meminta dirinya dibom sedemikian.
Cinta
Sebelum ini, Stacy tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu. Timbul juga tanda tanya adakah Stacy sanggup menukar agama demi cinta jika ditakdirkan suatu hari nanti bertemu jodoh dengan lelaki berlainan bangsa dan agama?
"Stacy baru 22 tahun, panjang lagi perjalanan yang perlu ditempuh. Mungkin orang cakap Stacy kasanova. Stacy tak nak serius ketika usia masih muda dan Stacy tak ada kawan yang serius pun sebab apabila ada teman lelaki, mungkin sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi kita bekerja.
"Stacy sudah ada keluarga yang sangat menyeronokkan dan gila-gila. Buat masa sekarang tidak perlukan teman istimewa lagi.
"Kalau dari segi tukar cara hidup atau agama demi seseorang, Stacy masih belum bersedia dan tak terfikir ke arah sana. Tapi Stacy suka belajar budaya dan cara hidup yang diterapkan dalam masyarakat Melayu," hurai anak kelima daripada enam beradik itu yang enggan membicarakan hal peribadi dengan lebih mendalam.
Pilih bulu
Sementara itu, Stacy juga menafikan dakwaan bahawa dia kurang bercampur dengan orang ramai terutama peminat malah ada yang melabelkan dirinya kini diva.
"Kalau atas pentas, ya Stacy diva! Supaya Stacy boleh membuat sesuatu yang di luar kemampuan Stacy.
"Tapi Stacy sangat senang didekati dengan peminat, malah ketika beriadah pun Stacy tidak pernah sombong jikalau ada yang menegur," ujarnya lagi.
Dari segi pergaulan pula, Stacy akui dia lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan haiwan peliharaan di rumah.
Mahu peminat menerima dia seadanya, Stacy turut menjelaskan caranya berpakaian yang kadangkala dianggap seksi.
"Stacy jarang keluar, orang yang tinggal sebumbung dengan Stacy tahu macam mana Stacy. Dari dulu lagi memang tak suka keluar rumah. Kawan pun dengan haiwan peliharaan sahaja.
"Stacy tak bergaul sangat. Di Kota Kinabalu pun budaya Stacy memang begitu. Kalau nak cakap Stacy seksi dan suka ke kelab sebenarnya dari dulu lagi beginilah pakaian Stacy. Sejak berusia 15 tahun lagi Stacy sudah mula menyanyi di kelab dan mencari rezeki secara halal
"Stacy masih menghormati budaya masyarakat kita dan nak bagi contoh yang baik. Inilah diri sendiri Stacy, tak perlu berubah dan kalau boleh mahu kekalkan imej yang sedia ada," tuturnya.
Kasanova, lagu yang nampak klise bagi seorang artis bernama Stacy. Masih mengekalkan imej dan rentak yang sama seperti lagu-lagu terdahulu, Jahat dan Pakai Buang, sejauh mana Stacy meletakkan harapan terhadap single yang sedang hangat diputarkan di corong-corong radio sekarang?
"Lagu itu ada kekuatan dari segi susunan muzik yang catchy dan membuatkan kita rasa nak menari. Tapi corak dari segi tarian dan muzik berbeza berbanding lagu Jahat dan Pakai Buang, lagu itu ada keistimewaannya tersendiri," kata Stacy yang mempunyai rancangan membuka perniagaan sendiri.
Tidak sah sekiranya Stacy dan tarian dipisahkan ketika membuat persembahan, begitu juga hampir kebanyakan video muziknya yang dilihat seolah-olah tarian merupakan pengenalan figura bernama Stacy.
Namun, kelincahannya menari turut dipertikaikan apabila Stacy dituduh meniru gaya tarian artis Korea.
"Orang yang tahu menari akan tahu tarian atau koreografi Stacy diciplak atau tidak. Itu trademark Stacy. Selain itu, Stacy juga dibantu oleh koreografer profesional, mana mungkin Stacy meniru tarian orang lain," bicaranya yang kini sibuk dengan promosi single Kasanova dan sedang merancang mengeluarkan single terbaharu pada bulan Februari atau Mac nanti.
Tambah Stacy:"Stacy tidak akan berhenti menari dan rasanya orang tak suka kalau Stacy tidak menari."
Apapun, siapa Stacy, ke mana liku yang diredah, dia tetap Stacy dan pendirian seorang gadis berbakat yang kental tidak akan kalis walau dihentam dari segala sudut. Ia ibarat proses untuk mematangkan diri.
3 comments:
Stacy,
terus menari.
aja-aja fighting stacy!!
tabah..pendulikan apa yg org cakapp
perkara yg mengarot
perminat tetap support stacy,,seadanya. and Teruskan Tari menari kerna stacy lah 1000 dalam 1 artis malaysian dance.. <3
Post a Comment