Friday, January 27, 2012

KEMASKINI: BINTANG BERSAING SENGIT DALAM UNDIAN KATEGORI ONLINE!




Baru dua minggu pengundian pusingan akhir Kategori Online diumumkan, dan kami mendapat banyak respon serta undian.

Lebih kurang 60,000 undian telah dibuat setakat ini dalam lima kategori - Artis Lelaki Paling Popular Online, Artis Wanita Paling Popular Online, Artis/Selebriti Asia Paling Popular Online, Artis Lelaki Anggun Bergaya dan Artis Wanita Anggun Bergaya.
Ramai di laman Facebook kami menyatakan rasa terperanjat dan teruja dengan keunggulan Ziana Zain yang masih popular walaupun dalam media baru. Ziana bersaing sengit dengan Stacy - yang mempunyai kehadiran penyokong online yang tegar - dan Lisa Surihani, satu-satunya pelakon wanita yang masuk tersenarai. Hanya beberapa puluh undian memisahkan mereka, manakala dua lagi calon - Shila Amzah dan Nera, mula mengumpul lebih banyak undian sejak diberitahu mereka sedikit ketinggalan di laman Facebook semalam.

Keadaan juga sengit dalam kategori Artis Lelaki Paling Popular Online pula, Faizal Tahir, Aaron Aziz dan Zizan Raja Lawak menduduki tiga tempat teratas setakat ini, manakala Akim dan Johan Raja Lawak hanya ketinggalan sedikit di belakang.

Sementara itu, dalam kategori Artis/Selebriti Asia Paling Popular, dapat dilihat yang pola pengundian semasa pusingan satu dan dua diulang kembali. Pada undian online pusingan pertama, Maher Zain mengungguli carta dan pada pusingan kedua, Super Junior menunjukkan taring. Sekarang, pada pusingan akhir, tiga teratas adalah Maher Zain, Super Junior dan 2PM. Mampukah K-Pop menewaskan fenomena Maher Zain? Semuanya di tangan peminat yang mengundi setiap hari.

Adi Putra sekarang berada setara dengan Shahezy Sam dalam kategori Artis Lelaki Anggun Bergaya, diikuti rapat oleh Aznil Hj Nawawi, Shah Jaszle dan Anuar Zain. Dalam kategori Artis Wanita Anggun Bergaya pula, Ziana Zain sekali lagi membuktikan popularitinya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ziana bersaing sengit dengan Erra Fazira - membawa bait-bait Sembilu, kepada yang sudah berumur dan ingat filem itu - dan Fazura, Nora Danish dan Yuna.

Apapun, sememangnya sukar diramal, siapa akan menang dan dengan tempoh pengundian sehingga Mac nanti, ternyata mana-mana calon berpeluang untuk mengungguli kategori masing-masing. Yang nyata, undian peminat sahaja yang mampu menentukan siapa menang dan siapa terpinggir.

Thursday, January 26, 2012

Lingkaran Negatif Stacy - Kosmo! Online



STACY melabelkan dirinya sebagai seorang diva di atas pentas demi mencabar diri untuk melakukan yang terbaik.

SEPANJANG laluan seni yang dipilih Stacy, tidak terlampau perit liku yang dirempuh untuk tiba ke destinasi sekarang. Tiada kontroversi mahupun kisah sensasi untuk dijaja.

Barangkali, Stacy selebriti yang kalis terkena silau kontroversi. Walau sinarnya tidak secerah kali pertama menyertai program realiti sebelum Akademi Fantasia 6, dia kini berjaya membuka mata bahawa dialah bintang yang dicari.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, bagaimanapun baru-baru ini mula menjadi perhatian apabila seringkali membatalkan sesi fotografi pada saat akhir selain dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu.

Menjawab situasi sebenar berhubung isu itu, Stacy menjelaskan tiada masalah serius berlaku berkenaan penundaan sesi fotografi itu.

"Stacy sudah jelaskan mengenai perkara itu kepada pihak yang terbabit. Pertama kali membatalkan sesi fotografi itu kerana diserang senggugut, kedua disebabkan tiba-tiba Stacy ada persembahan di Kuching, Sarawak dan kali ketiganya kerana Stacy kena gastrik.

"Semua jadual Stacy diuruskan pihak pengurusan dan Stacy tidak boleh membantah," maklum Stacy.

Stacy dalam pada itu sudah jelaskan perkara sebetulnya dan pihak yang terlibat juga memahami.

"Stacy janji lepas ini kalau sakit pun Stacy akan pergi juga. Stacy akan cuba bagi yang terbaik selepas ini. Minta maaf atas kekeliruan yang berlaku," katanya yang tidak meminta dirinya dibom sedemikian.

Cinta

Sebelum ini, Stacy tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu. Timbul juga tanda tanya adakah Stacy sanggup menukar agama demi cinta jika ditakdirkan suatu hari nanti bertemu jodoh dengan lelaki berlainan bangsa dan agama?

"Stacy baru 22 tahun, panjang lagi perjalanan yang perlu ditempuh. Mungkin orang cakap Stacy kasanova. Stacy tak nak serius ketika usia masih muda dan Stacy tak ada kawan yang serius pun sebab apabila ada teman lelaki, mungkin sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi kita bekerja.

"Stacy sudah ada keluarga yang sangat menyeronokkan dan gila-gila. Buat masa sekarang tidak perlukan teman istimewa lagi.

"Kalau dari segi tukar cara hidup atau agama demi seseorang, Stacy masih belum bersedia dan tak terfikir ke arah sana. Tapi Stacy suka belajar budaya dan cara hidup yang diterapkan dalam masyarakat Melayu," hurai anak kelima daripada enam beradik itu yang enggan membicarakan hal peribadi dengan lebih mendalam.

Pilih bulu

Sementara itu, Stacy juga menafikan dakwaan bahawa dia kurang bercampur dengan orang ramai terutama peminat malah ada yang melabelkan dirinya kini diva.

"Kalau atas pentas, ya Stacy diva! Supaya Stacy boleh membuat sesuatu yang di luar kemampuan Stacy.

"Tapi Stacy sangat senang didekati dengan peminat, malah ketika beriadah pun Stacy tidak pernah sombong jikalau ada yang menegur," ujarnya lagi.

Dari segi pergaulan pula, Stacy akui dia lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan haiwan peliharaan di rumah.

Mahu peminat menerima dia seadanya, Stacy turut menjelaskan caranya berpakaian yang kadangkala dianggap seksi.

"Stacy jarang keluar, orang yang tinggal sebumbung dengan Stacy tahu macam mana Stacy. Dari dulu lagi memang tak suka keluar rumah. Kawan pun dengan haiwan peliharaan sahaja.

"Stacy tak bergaul sangat. Di Kota Kinabalu pun budaya Stacy memang begitu. Kalau nak cakap Stacy seksi dan suka ke kelab sebenarnya dari dulu lagi beginilah pakaian Stacy. Sejak berusia 15 tahun lagi Stacy sudah mula menyanyi di kelab dan mencari rezeki secara halal

"Stacy masih menghormati budaya masyarakat kita dan nak bagi contoh yang baik. Inilah diri sendiri Stacy, tak perlu berubah dan kalau boleh mahu kekalkan imej yang sedia ada," tuturnya.

Tarian ciplak

Kasanova, lagu yang nampak klise bagi seorang artis bernama Stacy. Masih mengekalkan imej dan rentak yang sama seperti lagu-lagu terdahulu, Jahat dan Pakai Buang, sejauh mana Stacy meletakkan harapan terhadap single yang sedang hangat diputarkan di corong-corong radio sekarang?

"Lagu itu ada kekuatan dari segi susunan muzik yang catchy dan membuatkan kita rasa nak menari. Tapi corak dari segi tarian dan muzik berbeza berbanding lagu Jahat dan Pakai Buang, lagu itu ada keistimewaannya tersendiri," kata Stacy yang mempunyai rancangan membuka perniagaan sendiri.

Tidak sah sekiranya Stacy dan tarian dipisahkan ketika membuat persembahan, begitu juga hampir kebanyakan video muziknya yang dilihat seolah-olah tarian merupakan pengenalan figura bernama Stacy.

Namun, kelincahannya menari turut dipertikaikan apabila Stacy dituduh meniru gaya tarian artis Korea.

"Orang yang tahu menari akan tahu tarian atau koreografi Stacy diciplak atau tidak. Itu trademark Stacy. Selain itu, Stacy juga dibantu oleh koreografer profesional, mana mungkin Stacy meniru tarian orang lain," bicaranya yang kini sibuk dengan promosi single Kasanova dan sedang merancang mengeluarkan single terbaharu pada bulan Februari atau Mac nanti.

Tambah Stacy:"Stacy tidak akan berhenti menari dan rasanya orang tak suka kalau Stacy tidak menari."

Apapun, siapa Stacy, ke mana liku yang diredah, dia tetap Stacy dan pendirian seorang gadis berbakat yang kental tidak akan kalis walau dihentam dari segala sudut. Ia ibarat proses untuk mematangkan diri.

Tuesday, January 24, 2012

Stacy terkilan dituduh Diva - ERA FM



Kesian jugak bila sesetengah artis dituduh diva walaupun hakikatnya dia tidaklah bersikap sedemikian rupa. Itulah yang terjadi pada Stacy apabila dikatakan suka menimbulkan masalah pada setiap temujanji serta tidak hadir jika terlibat dengan sesi fotografi yang telah dijanjikan. Malah ada juga sesetengah pihak melabelkan artis serba boleh ini sebagai seorang yang tidak berdisiplin dan mula berlagak diva terutama dengan artis yang lain.

Menjawab persoalan tersebut, Stacy mula memberikan reaksi yang berbeza kepada para media dengan menyatakan dia amat terkilan dengan dakwaan berikut sambil menyifatkan perkara berikut tidak adil pada dirinya kerana tidak diberikan peluang untuk bersuara sebelum dituduh bersikap demikian. Juara Akademi Fantasia 6 itu juga tidak cepat melatah malahan tenang sambil menjelaskan satu persatu segala persoalan yang ditimbulkan.

Stacy juga mengaku pernah terlewat serta pernah membatalkan sesi fotografi yang telah dibuat untuknya adalah kerana akibat masalah kesihatan yang dihadapinya dan bukan kerana suka-suka .Ini kerana, dia mempunyai jadual kerja yang agak padat hingga menyebabkan kadang kala dia sendiri tidak berupaya untuk sentiasa cergas dan sihat. Namun, dia tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu alasan buat dirinya serta segera meminta maaf kepada pihak yang terlibat dan berjanji akan lebih menghormati temu janji yang telah diberikan kepadanya.

Anak kelahiran Penampang Sabah, ini juga beberapa kali menegaskan dakwaan mengenai dirinya seorang diva adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana bagi seorang pendatang baru didalam industri nyanyian, banyak lagi perkara yang perlu dipelajari olehnya terutama daripada penyanyi lama. Jika benar Stacy kelihatan seperti tidak mahu bercampur dengan artis lain, bukan niatnya untuk tidak bergaul rapat dengan rakan-rakan artis yang lain tetapi dia lebih suka menghabiskan masanya bersama dengan keluarga yang tersayang.

Stacy yang kini sedang sibuk untuk mempromosikan single terbaru berjudul Kasanova juga adalah seorang finalis didalam ABPBH 2011 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Stacy juga menganggap semua kontroversi ini mampu mematangkan dirinya pada masa hadapan. Yelah kalau ada yang tak berpuas hati dengan sesetengah artis lebih elok rasanya bersemuka dan mereka diberikan peluang untuk menjelaskan perkara sebenar agar semua pihak tidak bermasam muka bukan. 

Apapun, manalah tau dengan cerita panas macam ini mampu melonjakkan nama Stacy untuk menewaskan penyanyi wanita popular yang turut dicalonkan dalam ABPBH 2011 seperti Yuna, Alyah, Shila Hamzah dan Najwa Latiff. Selamat berjaya Stacy!

Nota Editor: Sewaktu Stacy jadi artis jemputan Carta ERA 40 dengan Pak Nil tak de pun apa-apa masalah. Korang propa tak? Hiks..

Stacy jaja kontroversi ? - Mangga


Panjangnya isu Stacy batalkan sesi fotografi dengan sebuah majalah tu.

Selepas muncul dalam akhbar mingguan dan harian, Stacy turut mengulasnya dalam program Melodi di TV3.

Kepada pihak media Stacy kata dia terpaksa batalkan fotografi pada saat akhir sebab sakit.

Nak buat macam mana kalau dah sakit kan? Tak tahulah alasan semata-mata atau dia benar- benar sakit.

Mangga Muda nampak cara Stacy menangani isu itu tak betul. Pasal apa Mangga Muda kata gitu?

Stacy ada janji dengan wartawan tu untuk memenuhi permintaan buat fotografi bila dia dah ada masa.

Tapi yang buatkan Mangga Muda rasa pelik tu, bila isu itu dibangkitkan, pandai pula pihak pengurusan dia cari wartawan dan aturkan sesi fotografi.

Tapi bukan dengan wartawan yang dia buat hal sebanyak tiga kali tu,tapi dengan media lain yang mulakan gosip pasal disiplin dia. Boleh macam tu?

Pada Mangga Muda, Stacy patut selesaikan urusan dengan wartawan pertama tadi kalau benarlah dia masih mahu dimuatkan dalam majalah tempat wartawan tu bertugas. Tak tahulah pulak kalau dia memang tak mahu lagi muncul dalam majalah tu dengan mencipta beribu alasan.

Hanya Stacy yang tahu apa dalam hatinya. Setahu Mangga Muda pihak Stacy belum lagi mengotakan janji untuk mengaturkan semula sesi yang dah tiga kali tertangguh tu. Apa kes ni?

Mangga Muda: Masak dah dengan kerenah artis lupa diri dalam industri hiburan ni.

"Akim mahukan perhatian" - Stacy (Media Hiburan)


Tweet Stacy - Pancaindera

Keratan Pancaindera
Pancaindera (Mingguan Malaysia)
m/s 9
22.12.2012



Stacy
"I'm not a perfect person. There's many things i wish i didn't do. But i continue learning i never meant to do those things to you... huhu"


Thursday, January 19, 2012

Bila Stacy Terkilan - Utusan Malaysia

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar Zakaria Idris
Make up : Aida G
Tajaan Lokasi : Butik Mimpi Kita, Bangsar, Kuala Lumpur



BELUM pun reda isu mengenai dirinya yang suka tiba lewat pada sesi temujanji, penyanyi Stacy kini didakwa menimbulkan masalah baru apabila dikatakan suka membatalkan sesi fotografi di saat-saat akhir.

Sikapnya itu bukan sahaja dilabelkan sebagai artis tidak berdisiplin malah ada mendakwa bekas juara program Akademi Fantasia 6 (AF6) itu semakin menunjukkan belangnya kerana berlagak diva.

Ternyata anak kelahiran Penampang, Sabah yang bernama penuh Stracie Angie Anam, 22, itu amat terkilan dengan setiap dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, Stacy berkata, dia tidak akan cepat melatah walau dihentam dengan pelbagai laporan dan tuduhan negatif.

Cuma dia sedikit kesal dengan laporan yang dianggapnya berat sebelah kerana langsung tidak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.

"Benar saya membatalkan sesi fotografi selama tiga hari berturut-turut secara mendadak dan di saat akhir baru-baru ini.

"Tetapi untuk pengetahuan semua, ketika itu keadaan kesihatan saya tidak begitu memberansangkan. Jadual kerja saya juga kurang sesuai untuk meneruskan sesi fotografi itu.

"Bagaimanapun saya ada meminta maaf dengan pihak terbabit. Saya sendiri sebenarnya rasa amat bersalah kerana terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir," kata Stacy pada sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.

Malah tegasnya, tiada sebab untuk dia berlagak diva memandangkan pengalaman dalam dunia seni masih baru.

Namun dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu salah faham yang mematangkan dirinya.

"Saya akui kesalahan saya dan saya tidak pernah menafikannya tetapi biarlah apa yang berlaku itu dilaporkan dengan betul. Ini kerana bukan saya melakukan perkara tersebut dengan sengaja.

"Dan persoalan mengenai saya seorang diva, itu tidak benar. Saya mahu peminat mengenali saya hanya sebagai Stacy," jelasnya yang kini sibuk mempromosikan single terbarunya bertajuk Kasanova.

Sombong dan liar

Stacy juga menolak dakwaan mengenai dirinya yang sombong dengan rakan sesama artis hanya kerana dia jarang dilihat rapat dengan artis lain.

Menurut Stacy, bukan niatnya untuk tidak bergaul rapat dengan rakan-rakan artis yang lain tetapi dia lebih suka menghabiskan masanya bersama keluarga terdekat.

"Saya bukan seorang sombong, jika terserempak dengan rakan-rakan artis yang lain saya juga akan menegur mereka seperti biasa.

"Tetapi untuk memiliki seorang rakan baik dari kalangan artis mungkin itu bukan saya kerana saya lebih senang ditemani ahli keluarga saya sahaja," katanya yang kini ditemani sepupunya untuk kemana-mana.

Mula menyanyi ketika berumur 15 tahun di sebuah kelab di Sabah, menurut Stacy, budaya mengunjungi kelab malam bukan budaya asing untuk dirinya namun sedar ia bukan perkara biasa untuk peminat di Semenanjung.

"Mengunjungi kelab malam bukanlah petanda saya adalah seorang yang liar, ini kerana saya sudah terbiasa dengan keadaan itu ketika membesar di Sabah.

"Bagaimanapun saya mahu peminat saya mengetahui tujuan utama saya adalah untuk menikmati muzik dan tidak lebih dari itu," jelasnya.

Mengenai caranya yang suka berpakaian agak seksi ketika berada di luar, kata Stacy, dia tidak pernah mengehadkan cara pemakaiannya.

"Saya tidaklah berpakaian yang kurang sopan ketika mengadakan persembahan, saya masih tahu mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Bagaimanapun ketika bersantai saya lebih selesa untuk memakai seluar pendek dan singlet dan ia memang telah saya pakai ketika di Sabah lagi," katanya.

Tukar agama demi cinta?

Menyelami isi hatinya yang banyak dikaitkan bercinta dengan jejaka Melayu sebelum ini, kata penyanyi lincah itu, hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta sesiapa.

"Tiada apa yang mahu dikongsi. Buat masa ini saya hanya selesa berkawan. Tiada istilah cinta lagi. Bagaimanapun jika saya benar-benar menemuinya suatu hari nanti tentu saya tidak akan merahsiakannya daripada peminat," katanya.

Ditanya soalan yang agak sensitif mengenai kesediaannya bertukar agama jika bertemu jodoh dengan kekasih Melayu, Stacy tidak mahu mengulas lanjut.

Jelasnya, perkara itu tidak pernah difikirkan namun jika benar jodohnya bersama jejaka Melayu, dia tidak akan menolak.

"Sukar rasanya untuk memberi jawapan di dalam hal ini kerana saya sendiri tidak tahu sama ada saya sudah bersedia atau tidak.

"Bagaimanapun jika benar jodoh saya bersama jejaka Melayu suatu hari nanti tentunya saya tidak akan menolak," katanya.

Tak Pernah Cintai Akim - Berita Harian

Tak pernah cintai Akim
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my
2012/01/08

Stacy

Stacy akui rimas masih ramai beranggapan dia pernah jalin kasih sayang dengan bekas rakan seperjuangan Akademi Fantasia

STACY Angie Anam naik muak apabila kerap diajukan persoalan hati membabitkan hubungan cintanya dengan Akim. Puas menafikannya, tetapi persoalan itu juga menerjah penyanyi lagu Kisah Dongeng itu. Perasaan cinta belum berputik dalam hati Stacy. Hubungan baiknya dengan Akim nyata sudah disalah tafsir. Anggapan menjalinkan hubungan cinta dengan Akim membuatkan Stacy rimas kerana hakikat sebenar, mereka hanya teman tapi mesra.

“Saya sudah kerap kali menyatakan pendirian, saya dan Akim hanya teman rapat. Saya akui menyukainya, begitu juga Akim tetapi hubungan kami belum sampai tahap bercinta. Suka dan cinta, dua perkara berbeza. Akim, teman yang paling rapat dengan saya.

“Saya mahu berkawan dengan Akim sampai bila-bila. Tapi, apabila membabitkan perasaan cinta, tentunya situasi sudah berlainan. Jika timbul perselisihan antara kami, saya tidak mahu daripada hubungan rapat akan menjadi musuh. Berlainan jika saya meletakkan Akim sebagai teman rapat tanpa membabitkan perasaan.

“Saya tidak mahu terjebak dengan hubungan cinta pada usia muda. Saya tidak bersedia dan tidak pasti mengenai cinta. Bagaimanapun, janganlah menyalah tafsir hubungan baik saya dengan Akim. Saya sudah bosan apabila diajukan persoalan sama setiap kali bertemu wartawan dan peminat.

“Hubungan baik saya dan Akim tidak sampai merancang untuk berumah tangga. Saya tidak terfikir menjalinkan hubungan lebih serius dengan Akim kerana dia adalah teman baik saya. Perasaan cinta saya ketika ini hanya kepada keluarga dan kerjaya nyanyian.

“Saya tidak mahu berkali-kali bercinta dan putus cinta. Jika terbit rasa cinta saya pada Akim, tentulah ada perasaan rindu yang mendalam. Tapi, perasaan saya biasa saja. Saya memang selesa bersama Akim, kami boleh berkongsi apa saja,” katanya yang kini sibuk mempromosikan album keduanya berjudul Stay-C.

Stacy tidak menafikan dia suka berkawan dengan lelaki Melayu kerana budaya mereka berlainan. “Dulu, saya hanya berkawan dengan kelompok kami di Sabah. Saya tidak pernah berkawan dengan lelaki Melayu. Bila kenal lelaki Melayu apabila berpindah ke Kuala Lumpur, saya dapati mereka jauh berbeza dengan karakter lelaki Sabah.

“Budaya orang Sabah sedikit kasar. Tengok saja saya, kadang kala nampak kasar, tetapi itulah budaya dan karakter yang diterapkan sejak kecil. Bagaimanapun, kasar tidak semestinya jahat. Saya perhatikan lelaki Melayu romantik, jiwang dan selamat. Saya tidak pernah terfikir berkahwin dengan lelaki Melayu, tetapi kalau sudah jodoh, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Pejam celik Stacy bergelar penyanyi sudah empat tahun. Nasibnya agak baik berbanding penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) lain. Stacy masih lagi mendapat tempat di hati peminat. Tanpa sokongan syarikat naungannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Stacy mungkin terkapai-kapai seperti penyanyi kelahiran AF lain.

“Tidak dinafikan, AESB banyak memberikan ruang kepada saya untuk terus bernafas. Bagaimanapun, tanpa usaha saya sendiri, ruang itu mungkin tidak diperoleh. Saya tidak mahu terlalu bergantung harapan kepada orang lain, saya takut apa yang diimpikan tidak akan menjadi kenyataan.

“Laluan sememangnya tersedia di depan mata tapi saya perlu menggerakkannya sendiri. Apa saja yang dilakukan membabitkan kerjaya nyanyian termasuk rakaman album dan klip video, saya tidak akan menyerahkan bulat-bulat pada orang lain. Saya mahukan kepuasan dalam setiap penghasilannya.

“Bukan bermakna saya cerewet tapi saya kena ambil berat. Ini adalah periuk nasi saya. Saya tahu peminat di luar sana tahu menilai, saya tidak mahu dianggap berada di takuk lama dan membuatkan peminat jemu,” kata anak kelahiran Penampang, Kota Kinabalu, Sabah itu.

Stacy akui kehidupannya dulu dan sekarang, umpama langit dengan bumi. Selepas hampir empat tahun membina kerjaya sebagai penyanyi membuatkan Stacy mampu menarik nafas lega.

“Lega apabila dapat menghadiahkan keluarga sebuah rumah yang selesa. Tahun ini, kami meraikan Hari Krismas di rumah baru. Saya mengumpul duit selama lebih tiga tahun untuk berikan ibu bapa dan adik beradik tempat tinggal selesa di Kampung Tuaran.

“Tidak dinafikan, saya terdengar cakap-cakap, kenapa saya tidak membina rumah untuk keluarga dalam tempoh lebih awal, ada juga mengatakan saya lupa diri, lupa keluarga. Saya hanya tahan telinga mendengarnya.

“Saya bukan lupa keluarga, siapa tidak mahu berikan tempat tinggal selesa untuk ibu bapa, tapi saya perlu kumpul duit terlebih dulu. Ibu bapa dan adik beradik faham keadaan saya, memang lambat saya menyediakan rumah untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mungkir janji. Lambat-lambat pun, akhirnya rumah sudah siap dibina.

“Bukan sedikit duit dikumpul, beratus ribu ringgit juga, tetapi biarlah orang luar menilainya sendiri. Saya tidak mahu beritahu berapa harga rumah baru yang siap dibina pada Ogos lalu, nanti dituduh angkuh pula,” katanya yang menyerlah menerusi lagu Kasanova.