Wednesday, January 5, 2011

Selesa bertemankan Akim

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2011/01/05

 Stacy lebih utamakan kerjaya daripada memikirkan soal cinta

BERULANG kali menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Akim. Namun penafian yang dibuat Stacy Angie Anam itu tidak mampu untuk menghentikan andaian dan persoalan daripada terus bertiup mengenai dirinya.

Kisah cinta mereka sudah lama senyap, tetapi baru-baru ini gosip mengaitkan mereka kembali bertiup. Kononnya baru-baru ini mereka bertelingkah hingga menyebabkan adegan air mata berlaku. Tapi jangan terkejut, bukan Stacy yang menitiskan air mata sebaliknya Akim yang lebih emosional.

Terkejut Stacy apabila diajukan pertanyaan itu, disusuli ketawa kecil. Malah kakak serta sepupunya yang turut menemani ke sesi fotografi ini juga sama-sama tertawa. Adakah mereka tertawa kerana lucu atau menyimpan seribu makna?

Meskipun dalam keadaan kurang sihat kerana demam, penyanyi bertubuh kecil yang cekal ini tetap memenuhi janji biarpun tiba sedikit lewat. Hadir tanpa secalit solekan, gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini hanya memberikan ‘jawapan selamat’.

“Kami masih berkawan rapat. Sesekali kami keluar makan bersama tetapi bukanlah berdua. Setakat ini keluarga melarang saya daripada keluar berdua dengan mana-mana lelaki kerana bimbang dikaitkan dengan gosip.“Kalau ingin keluar pun, keluarga pastikan kakak atau ada saudara mara yang menemani.

“Kami jarang bertemu, sesekali kami berpeluang bertemu di dalam persembahan yang dijayakan bersama. Ada juga sesekali kami berhubung di telefon. Saya akui suka dan selesa berkawan dengan dia,” kata Stacy.

Wajahnya yang sebelum ini kelihatan pucat, kelihatan berseri-seri selepas dirias. Dalam keadaan kurang sihat itu juga, Stacy tetap memberikan kerjasama baik malah berjaya memberikan pose menarik khas buat tatapan peminatnya.

Tiga tahun bergelumang dalam dunia seni, nampaknya masih belum ada petanda populariti penyanyi lagu Jahat ini semakin merudum. Gelaran bintang ‘mi segera’ sudah tidak layak diberikan kepada gadis berusia 20 tahun ini kerana Stacy masih lagi menjadi pilihan ramai termasuklah peminat.

Dia yang pernah memenangi anugerah Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mengakui sesekali terbit rasa bimbang andai tersalah langkah hingga menjejaskan nama baiknya.

Episod hitam yang menimpanya di Festival Filem Malaysia (FFM) tiga tahun lalu, apabila terlupa lirik masih lagi menghantuinya sehingga kini.

“Apa yang berlaku di FFM dulu amat saya kesali. Ketika itu sudah terbayang kerjaya nyanyian berada di ambang kehancuran. Bukan mudah untuk berada di atas, sekali kita jatuh, susah untuk kita kembali pada kedudukan yang dulu.

“Kejadian tiga tahun lalu benar-benar mengajar serta menjadikan saya lebih berhati-hati. Sejak peristiwa itu, saya sentiasa mencari kelemahan diri yang boleh diperbaiki. Saya tidak mahu lagi tersalah langkah hingga akhirnya menjejaskan kerjaya saya.

“Saya sentiasa menjadikan youtube dan juga facebook sebagai rujukan. Dari situ saya tahu apa yang peminat suka dan tidak. Apa yang peminat suka saya akan teruskan tetapi perkara yang mereka tidak suka, saya akan hindari. Contohnya ada yang tidak suka melihat saya berpakaian seksi, jadi saya akan cuba elakkan.

“Setakat hari ini, nak kata saya berpuas hati dengan pencapaian yang diraih semestinya belum lagi. Cuma saya berpuas hati kerana masih mampu bertahan, saya mahu peminat terus menyokong dan meminati. Itu paling penting buat saya,” katanya.

Elak sikap sambil lewa

KECEKALAN juara Akademi Fantasia (AF) musim keenam ini ternyata jauh beza dengan penuntut AF baru yang dilihat sudah berani menimbulkan masalah meskipun masih hijau dalam industri.

Kontroversi yang berlaku kepada Shahir dan Adira dilihat Stacy sebagai pelajar yang lebih lama adalah tidak wajar.

“Saya tak berani berkata apa-apa kontroversi dicetuskan mereka. Bagaimanapun jika saya sendiri yang berada di tempat mereka, saya akan rebut peluang dan membelakangkan segala masalah peribadi kerana peluang hanya datang sekali,” kata Stacy yang berdebar menantikan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung Ahad ini.

Ketika sesi fotografi ini diatur, Stacy masih belum sempat melakukan sebarang latihan dek kerana kesibukan memenuhi undangan nyanyian serta keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.

Tetapi itu tidak bererti dia sambil lewa kerana menyedari memikul tanggungjawab besar yang disandarkan oleh komposernya Edry menerusi lagu Jahat.

Sepanjang tiga tahun bergelumang dalam arena nyanyian, lagu berentak rancak bagaikan begitu sinonim dengan gadis ini. Biarpun berkebolehan mendendangkan lagu berentak balada dengan baik, namun syarikat yang dinaungi Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) seakan tidak mahu memberi kesempatan itu kepada Stacy. Namun Stacy berkata, memang dia kini sedang menuju ke arah itu apabila album keduanya nanti bakal membabitkan komposer seperti Audi Mok dan Omar K.

Namun album itu tidaklah terlalu sentimental dan perlahan, sebaliknya sesuai dengan halwa telinga pendengar. Ketika ini sebuah lagu sudah pun dirakamkan dan dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya pada rakaman album kedua, selepas selesai AJL nanti.

1 comment:

AhMoy84 said...

STACY, SAYA BANGGA DENGAN STACY. SAYA TAHU STACY PASTI BOLEH BERJAYA, WALAUPUN SEJAK PERTAMA KALI MENONTON STACY DI AF6.

WE LOVE YOU STACY ! GOOD LUCK !