Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/04/13
Kegagalan sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik
KALAH tidak bererti perlu berputus asa, malah menguatkan lagi semangat penyanyi kecil molek, Stacy untuk memajukan diri dan meningkatkan lagi mutu nyanyiannya.
Daripada riak wajahnya, seolah-olah tidak ada rasa kecil hati walaupun tewas kepada Yuna sebagai Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) baru-baru ini. Namun itu bukanlah bermakna Stacy tidak popular. Malahan namanya boleh dikatakan tidak pernah tercicir sebagai finalis Penyanyi Wanita Popular sebanyak tiga kali berturut-turut, membuktikan popularitinya juga memang cukup kuat. Hanya rezeki atau nasib sahaja belum berpihak kepadanya untuk menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular.
Sebenarnya, semua itu memberi keyakinan dan keazaman kepada gadis berasal dari Kampung Tuavon, Penampang, Sabah ini untuk berusaha lebih gigih lagi pada masa depan memandangkan dirinya sudah menampakkan hasil apabila dipilih peminat untuk tercalon dalam senarai akhir ABPBH2010.
Malahan, Stacy juga melihat peluangnya untuk menang sentiasa terbuka luas dan hanya menunggu masa sesuai sahaja untuk peminat memilihnya sebagai penyanyi wanita popular pada ABPBH akan datang.
Dalam pada itu, Stacy juga tidak menjadikan Yuna sebagai pencabar, malah menganggap Yuna sebagai rakan perjuangan dan menghargai bakat yang ada pada penyanyi itu sehingga diangkat oleh peminatnya.
“Bagi saya itu rezeki dia (Yuna). Mungkin rezeki saya belum sampai, tetapi bersyukur kerana peminat sudah meletakkan saya di tahap ini sehingga tercalon dalam Top 5.
“Tiada apa yang nak dikesalkan dan saya masih bersemangat untuk meneruskan usaha saya dalam bidang ini dan saya tak rasa diri saya kalah kerana ini bukan pertandingan tetapi sebagai penghargaan peminat kepada kita,” katanya.
Meskipun tewas, gadis berumur 21 tahun ini percaya kepada takdir dan peluang yang masih belum memihak kepadanya tetapi berterima kasih kepada kelab peminat yang tidak putus-putus menyokongnya dari belakang.
Baginya, tiada apa yang dapat menggembirakannya melainkan diterima peminat bahkan berharap sokongan peminat mampu membawanya lebih jauh dan akan memajukan dirinya sehingga tercalon lagi sekali lagi di masa depan.
Jika tidak sekarang mungkin di masa depan bakatnya diangkat peminat, malah perasaan putus asa tiada dalam kamus hidupnya dan menganggap peluang yang ada perlu diterokai agar bakatnya sentiasa diterima semua pihak.
“Berada dalam senarai calon akhir ABPBH sudah cukup dianggap satu anugerah daripada peminat dan saya akan teruskan berusaha lagi supaya lebih diterima di masa depan sebab banyak lagi yang perlu saya belajar.
“Tengok saja Shaheizy Sam sudah berapa lama dia di dalam industri ini dan baru sekarang bakatnya di hargai. Begitu juga dengan saya, mungkin memerlukan masa agak lama untuk sampai ke tahap macam itu,” katanya.
Siapa yang tidak menyimpan impian untuk memegang anugerah Bintang Paling Popular tetapi bagi Stacy biar masa yang menentukannya. Meskipun tidak memenangi sebarang anugerah tetapi berpuas hati sebab diterima dalam industri ini.
Kisah Dongeng terbaru dari Stacy
LUPAKAN soal kalah atau menang dalam ABPBH2010 yang lalu kerana ketika ini Stacy sedang menghabiskan masa di studio rakaman untuk pembikinan album keduanya di bawah kendalian Yusry Abdul Halim.
Dijangka tampil dengan imej lebih funky, album terbaru Stacy itu dijangka berada di pasaran pada Jun atau Julai depan.
Buat masa ini, single terbaru yang juga keenam bagi dirinya berjudul Kisah Dongeng sudah hangat dimainkan di radio sejak 6 April lalu. Menyusul selepas kemunculan lagu berentak balada itu ialah klip videonya yang akan diterbitkan hujung bulan ini.
“Tahun ini rezeki saya murah dan sangat sibuk dengan album lagi serta sibuk dengan pembikinan muzik video yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim. Saya banyak belajar daripada orang yang lebih berpengalaman bagi album kedua ini supaya lebih dekat dengan peminat dan diterima semua orang,” katanya.
Lebih menarik lagi, album keduanya yang menerima sentuhan komposer Edry Abdul Halim ini mempunyai enam lagu yang turut mempunyai satu lagu duet bersama ratu rock negara, Ella dijangka akan menerima sambutan hangat peminat.
Bagi Stacy, tumpuannya kini lebih terarah kepada album keduanya bagi menghasilkan produk terbaik buat peminatnya.
Apapun dugaan yang mendatang, bagi Stacy dirinya kini boleh dianggap sudah berjaya mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan dengan penghasilan album keduanya dalam tempoh tiga tahun selepas keluar daripada program realiti televisyen.
7 comments:
IT'S OK IT'S ALLRIGHT, COME ON STACY, FIGHT FIGHT FIGHT!! STacy bule ba kalo ko>...
stacy! akan sentiasa saya!ops!!!silap!kami akan sentiasa support stacy walau apa jua situasi~!!yeah~!!
kak stacy !uwaa ! buzynya kamu ! i love u so much sis...good luck for your career..
i will always supportn you stacy !alamak,,terlebeyh sudah !
hai stacy,hrp ko x putus asa kio, sya yakin 1 msa nnt ko akn menang jg d'abp..kmi peminat2 ko d'sabah sntiasa sokong ko..tingkatkn prestasi kurangkn kntrvsi.
Nanti saya mau beli tu album terbaru tu... sebab saya minat KRU, Ella dan semestinya Stacy... :D
sya suka betul sma stacy...smua album dia sya sda beli.. lagu dia semua best2 baa...caya laa stacy....we lov stacy...
Post a Comment